SUNGAI PETANI: Seorang nelayan hilang selepas terjatuh ke laut ketika keluar menangkap ikan bersama dua rakannya pada jarak kira-kira 9.7 batu nautika barat laut Pulau Bidan, Yan, dekat sini pada Jumaat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kejadian itu berlaku jam 11 malam dan laporan mengenainya diterima daripada tekong bot jam 7.50 pagi Sabtu.

Katanya, mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Rizal Ismail, 34, dan mempunyai sejarah penyakit sawan.

"Pasukan segera mengaktifkan dan mengkoordinasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan sektor pencarian meliputi kawasan seluas 10 batu nautika dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.

"Ia melibatkan aset laut Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa bot nelayan tempatan," katanya di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa kali terakhir dilihat memakai baju putih dan berseluar hitam serta dipercayai tidak memakai jaket keselamatan.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada tekong bot itu, mangsa disedari tiada di atas bot pada jam 11 malam tadi dan usaha mencari mangsa di kawasan sekitar tidak berhasil.